comscore
Tumpuan :
Nasional

Jual body atau jual durian?

KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang penjual durian berbadan sasa tidak berbaju ketika menjual durian mengundang kritikan ramai.

Berikutan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menasihati individu terbabit supaya tidak lagi mempamerkan bentuk badannya di khalayak awam.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan (Bahagian Dakwah) JHEAT, Zahari Sulong berkata ia bertujuan menjaga diri daripada fitnah sekali gus mendapatkan keberkatan dalam urusan perniagaan.

“Jabatan Agama Terengganu berpandangan apa yang ditularkan yang telah berlaku itu tidak sepatutnya berlaku bukan sahaja di negeri Terengganu bahkan di seluruh tempat sebab ia akan menimbulkan fitnah.”

JHEAT bimbang orang ramai akan bercakap mengenai perkara yang tidak elok walaupun pelaku menutup aurat.

Jelasnya, setakat ini JHEAT mengambil pendekatan memberikan nasihat dan belum mengambil sebarang tindakan tegas berhubung perkara itu.

Tambahnya lagi, mengikut Seksyen 35, Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu mana-mana orang yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang pada pandangan umum menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam adalah melakukan kesalahan.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video dan gambar seorang lelaki berbadan sasa yang dikatakan seorang duda anak tiga tidak berbaju ketika menjual durian di Seberang Takir berdekatan Jambatan Angkat di Kuala Terengganu.

Difahamkan, lelaki berstatus duda anak tiga itu merupakan ahli bina badan dan pernah bergelar Mr. Body Cantik selama tiga tahun berturut-turut sejak 2017.

Loading...
Terkini