comscore
Tumpuan :
Nasional

Jualan khas Syawal Madani rekod nilai jualan RM4.5 juta

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf Masjid Al -Najihin Padang Sebang, Gadek, Alor Gajah, malam tadi. FOTO: NSTP

ALOR GAJAH: Jualan Khas Syawal Madani yang bermula Sabtu lalu berjaya mencatatkan RM4.5 juta nilai jualan, menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata nilai berkenaan adalah hasil pembabitan1,462 usahawan di 38 lokasi bagi outlet pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seluruh negara.

“Melihat kepada perkembangan positif yang dicatat hanya dalam tempoh tiga hari ini, kita akan teruskan program sebegini pada perayaan utama lain seperti Aidiladha, Deepavali dan Krismas.

“Pada masa sama, sasaran untuk mencapai RM13 juta nilai jualan juga mampu direalisasikan dalam tempoh dua hari lagi (menjelang Syawal),” katanya pada Program Jelajah Ramadan Menteri Pertanian dan Kerterjaminan Makanan bersama usahawan Melaka di Padang Sebang di sini hari ini.

Mohamad berkata secara keseluruhan FAMA menyasarkan nilai jualan sebanyak RM13 juta yang membabitkan 113 outlet pemasaran.

Beliau menjelaskan pihaknya juga merancang untuk meneruskan dengan program jualan terus dari ladang dan Jualan Agro Madani dengan menyasarkan 2,000 outlet selepas Syawal ini.

Terdahulu pada majlis berkenaan, seramai 160 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan kakitangan FAMA menerima sumbangan berupa kit makanan, di samping 40 anak yatim dan 20 ibu tunggal yang turut menerima sumbangan duit raya. — BERNAMA

Loading...
Terkini