comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah kelahiran hidup catat penurunan sejak 2012 – KPWKM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendedahkan jumlah kelahiran hidup di negara ini mencatatkan penurunan sejak 2012.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keadaan itu berkait rapat dengan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) yang mencatatkan penurunan semakin ketara.

Beliau berkata, ia disokong Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan yang merekodkan penurunan TFR kepada 1.6 anak pada 2022, berbanding 2.1 anak pada 2010.

“Terdapat pelbagai faktor menyumbang penurunan TFR, termasuk ekonomi, gaya hidup yang boleh mempengaruhi keputusan, pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.

“Masalah kesuburan juga boleh mempengaruhi kadar TFR,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 2021 dan 2022 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai kebimbangan berhubung trend ‘childfree’, Nancy berkata, kementerian berpandangan keputusan memiliki dan penentuan bilangan anak adalah hak pasangan terbabit.

“Terdapat pelbagai faktor mempengaruhi keputusan memiliki, bilangan anak serta penurunan TFR. KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) membantu membuat intervensi bagi membantu pasangan berdepan masalah kesuburan.

“Kita juga memberi perkhidmatan yang boleh menyediakan persekitaran membantu pasangan membuat keputusan seperti perkhidmatan perancangan serta pelaksanaan keluarga,” katanya.

Mengulas isu kesuburan, Nancy berkata, pelbagai inisiatif dilakukan LPPKN, termasuk menawarkan perkhidmatan rawatan kesuburan pada kos berpatutan sejak 1979, klinik kesejahteraan lelaki dan pengecualian cukai.

“Klinik ini menawarkan saringan kesihatan, khidmat nasihat masalah seksual dan amalan gaya hidup sihat serta rawatan ubat untuk membantu kesuburan bagi mengatasi masalah kesuburan lelaki yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab celahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Nancy berkata, strategi KPWKM ketika ini adalah bagi mengurangkan tahap kebergantungan orang kurang upaya (OKU) terhadap bantuan kerajaan.

Beliau berkata, inisatif itu dilakukan dalam pelbagai platform, termasuk padanan pekerjaan bersama industri, bertujuan mengelak golongan berkenaan daripada hanya bergantung kepada bantuan semata-mata.

“KPWKM untuk tahun ini dan seterusnya cuba melihat untuk penerima bantuan kebajikan untuk menjadi lebih berdikari. Misi kita lebih kepada tahap ekonomi penerima bantuan.

“Ia supaya dapat mengurangkan tahap kebergantungan terhadap bantuan kerajaan, namun tetap bergantung kepada nasib mereka juga. KPWKM tidak akan berhenti membantu,” katanya.

Mengenai bantuan perniagaan kepada OKU, Nancy berkata, pihaknya ketika ini sedang memohon untuk menaikkan peruntukan kepada RM5,000 kepada Kementerian Kewangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini