comscore
Tumpuan :
Nasional

Kami dapat panggilan untuk pindah kubur emak – Waris

MUAR: Lima jenazah dipindahkan susulan berlaku hakisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Bukit Naning, hari ini.

Proses pemindahan bermula jam 8.30 pagi diketuai wakil Pejabat Kadi Daerah Muar dengan bantuan kariah Kampung Parit Baru dan kampung berdekatan, turut disaksikan waris masing-masing selepas mendapat kebenaran Pejabat Mufti Negeri Johor.

Ia bermula dengan kerja menggali tanah untuk mencari kedudukan sebenar keranda memandangkan sebahagian daripadanya sudah beralih daripada kedudukan asal.

Jenazah pertama dipindahkan pada jam 9.30 pagi, dikapankan semula sebelum dibawa ke kawasan berdekatan untuk dikebumikan.

Semua lima jenazah selamat disemadikan semula dalam satu liang tidak jauh dari lokasi asal.

Pada masa sama, suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan terbabit ketika jenazah diangkat keluar dengan beberapa waris dilihat menitiskan air mata.

Salah seorang waris yang ditemui, Siti Mallisnorzai Samian berkata, mereka lima beradik pulang ke kampung dan berkumpul bagi melihat proses pemindahan kubur ibunya, Sariah@Seringati Omar.

“Semalam kami mendapat panggilan untuk pemindahan kubur emak, jadi kami lima beradik berkumpul di sini untuk melihat proses tersebut.

“Kami bersyukur kerana proses berjalan dengan lancar. Sebelum ini, ada jiran memberitahu berlaku hakisan di tebing parit yang mana terdapat kubur emak di situ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Baru, Rosdi Abu berkata, pada mulanya laporan diterima hanya terdapat empat kubur dikenal pasti terjejas tetapi sebenarnya lima.

“Semua sudah selesai, saya ucapkan terima kasih semua pihak terutama Pejabat Kadi Daerah Muar, penduduk sekitar serta waris yang bergotong-royong memudahkan proses pemindahan kubur,” katanya.

Loading...
Terkini