comscore
Tumpuan :
Politik

PRK: “Dapat lebih 1,000 undi di Bukit Naning dikira kejayaan saya” – calon Bebas DUN Simpang Jeram

Jeganathan ketika ditemui media selepas penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar hari ini. – Foto: NSTP

MUAR: “Rakyat minta saya bertanding sekali lagi, mereka marah kerana wakil rakyat menang tak nampak batang hidung, bila nak pilihan raya baru muncul,” kata calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, S Jeganathan.

Jeganathan, 56, yang juga ahli perniagaan sebelum ini pernah bertanding di DUN Bukit Naning ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac tahun lalu namun tewas dan hanya meraih 1,514 undi.

Beliau sekali lagi mencuba nasib di DUN Simpang Jeram walaupun kehadirannya tanpa penyokong seperti mana Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, keputusan bertanding di DUN Simpang Jeram adalah atas permintaan orang ramai yang kecewa dengan wakil rakyat yang tidak menjalankan tanggungjawab sebelum ini.

“Bila dia orang menang hilang diri, bila nak pilihan raya baru jumpa rakyat. Walaupun saya kalah, rakyat datang mengadu masalah kepada saya.

“Kali ini saya mahu mencuba nasib, kalau menang saya buat terbaik untuk rakyat. Kehadiran saya di sini hanya atas permintaan rakyat di DUN Simpang Jeram,” katanya.

Ditanya adakah calon Bebas berpeluang untuk menang memandangkan hampir sebahagian besar calon ini tewas dan hilang deposit pada PRU atau PRN lalu, Jeganathan berkata, beliau yakin pengundi akan memilihnya.

“Saya yakin boleh menang kali ini. Memang sukar bagi calon Bebas kalau bertanding nak dapat 100 undi pun susah.

“Tapi saya boleh dapat lebih 1,000 undi di Bukit Naning dan ini dikira kejayaan saya,” katanya.

Pada PRK DUN Simpang Jeram, Jeganathan akan berdepan calon PH, Ir Nazri Abd Rahman dan Dr Mohd Mazri Yahya, dari PN.

Loading...
Terkini