comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak autisme ditemui lemas

KUCHING: Seorang kanak-kanak autisme berusia tujuh tahun yang hilang di Kampung Bunga Rampai, Jalan Batu Kitang di sini, semalam, ditemukan lemas di sungai kampung terbabit hari ini.

Mayat Andrine Johnnes ak Anne dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.15 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak Angkatan Pertahanan Awam(APM) dan Bomba melihat satu objek dalam keadaan timbul tenggelam.

“Apabila dihampiri objek terbabit adalah mayat kanak-kanak itu yang masih berpakaian.

“Keluarga mangsa telah dipanggil bagi membuat pengecaman mayat di Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

“Dengan penemuan mayat operasi SAR ditamatkan pada jam 1 tengah hari.

“Difahamkan mangsa selama ini tidak dibenarkan keluar dari rumah berkemungkinan telah keluar melalui pintu belakang yang menghadap kawasan hutan berdekatan,” katanya.

Pihak bomba menerima laporan berhubung kes itu jam 9.13 malam tadi dengan mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat ahli keluarga, mangsa disedari tiada serta hilang di rumah pada jam 2.30 petang.

Loading...
Terkini