comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak meninggal dunia disyaki dibaham buaya

Foto: Ihsan Bomba

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemui meninggal dunia dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di sungai Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa Mohd Radhi Randi ditemui oleh penduduk kampung pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan dibaham buaya ketika melakukan aktiviti mandi manda di sungai berkenaan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.16 tengah hari.

Katanya, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Alan Ayuh digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak menjalanan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan kaedah surface rescue.

“Mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung 500 meter dari lokasi mangsa dibaham buaya, jam 3.05 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi SAR ditamatkan jam 3.19 petang,” katanya.

Operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini