comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak Orang Asli dikhuatiri lemas ketika mandi bersama keluarga

FOTO: Ihsan JBPM

GUA MUSANG: Kegembiraan seorang kanak-kanak Orang Asli yang pulang ke Kampung Setawar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini, bertukar tragedi apabila dikhuatiri lemas di Sungai Nenggiri petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang tadi mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham, 7, dipercayai hanyut ketika mandi bersama ahli keluarganya di sungai terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Kuala Betis, Sudin Rigen berkata, mangsa yang dikatakan dari Selangor pulang bersama keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai yang terletak di belakang rumahnya.

“Ahli keluarga sudah memohon bantuan anggota keselamatan seperti polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mencari mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh anggota keselamatan, namun sehingga malam ini mangsa masih gagal dijumpai,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.25 petang.

Katanya, seramai 11 anggota menjalankan operasi mencari dan menyelamat di persisiran sungai dan ‘Surface Searching’.

“Sehingga jam 7.38 malam tadi mangsa belum dijumpai dan operasi terpaksa ditangguhkan atas faktor keadaan gelap dan arus sungai yang deras.

“Operasi akan diteruskan pada pagi esok dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) untuk untuk mencari mangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini