comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak perempuan enam tahun maut, dipercayai didera dan pengabaian

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Disyaki menjadi mangsa dera dan pengabaian menjadi punca kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di kediamannya di sebuah flat di Bandar Tun Razak, Cheras di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh bapanya kira-kira jam 2.30 petang.

Menurut beliau, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tunku Azizah di sini, kira-kira jam 3.40 petang untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati, kira-kira jam 11.30 pagi pada hari kejadian, mangsa sedang tidur di dalam bilik ketika bapanya keluar untuk membeli makanan.

“Apabila lelaki itu pulang ke rumah pada jam 2.30 petang, dia menemui anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan awal pihak hospital mengesyaki terdapat unsur penderaan dan pengabaian oleh penjaga kanak-kanak terbabit.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

“Polis sudah merakam keterangan bapa mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Zam Halim berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis.Maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Loading...
Terkini