comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Juruteknik dipenjara 54 bulan, cuba bakar rumah 

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan terhadap seorang juruteknik selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat dengan cuba membakar sebuah rumah, Oktober tahun lalu.

Chow Hon Heng, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, Hon Heng didakwa melakukan perbuatan khianat di hadapan sebuah rumah dengan menyebabkan kebakaran serta kerosakan kepada pemilik kediaman.

Kesalahan dilakukan di Taman Duku Juru dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 4.45 pagi, 15 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Namun tertuduh dalam rayuannya, memaklumkan dia sudah insaf dan meminta supaya hukuman penjara dikenakan terhadapnya berjalan serentak dengan hukuman sedia ada.

Ini kerana, tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara di Tapah, Perak bermula 29 November lalu, atas kesalahan sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 48 bulan dan denda RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, jika tertuduh gagal membayar denda, hukuman penjara dinaikkan kepada enam bulan yang menjadikan keseluruhannya 54 bulan.

Tertuduh dilaporkan tidak membayar denda berkenaan.

Loading...
Terkini