comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN Komited Selesai Isu ‘Stateless’ Lebih 1 Juta Orang di Sabah

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi komitmen untuk menyelesaikan segera isu penduduk tanpa dokumen di Sabah yang kini sudah melebihi sejuta orang.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ini kerana pendatang tanpa izin (PATI) di negeri itu dikesan memberi pelbagai masalah kepada semua pihak termasuk dalam isu sosial dan keciciran pendidikan.

Beliau berkata, isu itu akan dijadikan keutamaan KDN untuk diselesaikan dengan segera, melalui kerjasama antara rakyat dan sokongan kerajaan Sabah.

“Di Sabah sudah lebih sejuta tidak mempunyai dokumen dan akhirnya ia menyukarkan masa depan mereka. Anak mereka lahir tanpa dokumen, tidak boleh ke sekolah dan tiada pendidikan sekali gus sukar untuk mencari pendapatan.

“Bila tiada pendapatan ini, akan timbullah pelbagai masalah lain. Saya amat berharap isu ini tidak hanya diserahkan sepenuhnya kepada penguatkuasaan tetapi diselesaikan secara bersama. Terima kasih kepada kerajaan Sabah kerana sentiasa membantu kami,” katanya dalam program dialog awam Kita Demi Negara di Sabah hari ini yang diadakan secara maya dan fizikal.

Hamzah berkata antara isu penguatkuasaan dihadapi Sabah ketika ini adalah pencerobohan sempadan sama ada darat atau laut.

“Ini berlaku kerana Sabah mempunyai sempadan yang luas dan panjang dan menyebabkan jenayah senang berlaku. Antara yang timbul adalah kemasukan nelayan asing ke perairan negara yang mencuri segala hasil laut. Orang kita diberi lesen tetapi memberi kepada nelayan asing.

“Begitu juga jenayah demi wang tebusan. Ia sering kedengaran dan memberi kesukaran untuk penguatkuasaan kita. Pencerobohan PATI mengambil hasil kita dan bawa semula ke negara mereka, yang akhirnya merugikan kita,” katanya.

Menjawab soalan mengenai persiapan Malaysia terhadap perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, Hamzah menjelaskan, kerajaan sedang menjalankan kajian dan analisa terhadap keselamatan di sempadan Sabah.

“Apabila kita melihat kesungguhan Indonesia mahu membawa ibu kota ke Kalimantan, kita juga perlu bersedia dari segi ekonomi untuk membangunkan kawasan-kawasan sempadan supaya perniagaan secara sistem barter menjadi lebih mudah dan memberi kesan ekonomi terhadap rakyat Sabah.

“Kita mungkin akan memperbesarkan pelabuhan-pelabuhan khususnya di kawasan barat dan membuka jalan lebih baik, tetapi kita juga mengkaji dan menganalisa keselamatan dan kesesuaian yang ada, bukan hanya untuk keluar masuk sahaja sebaliknya pembangunan di sempadan,” katanya.

Mengulas mengenai program Kita Demi Negara di Sabah, beliau berkata, ia menjadi acara penting supaya rakyat di negeri itu bekerjasama untuk menurunkan kes jenayah dari semasa ke semasa selain menghidupkan semangat patriotisme ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita nak buktikan bahawa ia bukan penguatkuasaan semata-mata tetapi dengan semangat kekitaan dan keredaan Allah, kita boleh jadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dibanggakan.

“Melalui program ini juga kita mahu beri tanggungjawab kepada rakyat untuk menjadi mata telinga kepada KDN dan menjadi ejen penyebar maklumat,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini