comscore
Tumpuan :
Nasional

Keadaan Terlalu Sesak Paksa Rapid KL Tutup Operasi Platform

FOTO: Orang Awam

KUALA LUMPUR: Operasi di Platform 1 Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek untuk Laluan Ampang/Seri Petaling terpaksa ditutup daripada menurun dan mengambil penumpang atas faktor keselamatan, pagi tadi.

Rapid KL dalam kenyataan di Facebook, memaklumkan tindakan itu terpaksa diambil kerana keadaan sekitar stesen terlalu sesak dengan pengunjung yang datang meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, di sini.

Bagaimanapun, katanya Platform 2 di stesen terbabit masih beroperasi. Atas faktor keselamatan juga, tren perkhidmatan itu tidak akan berhenti untuk menurun dan mengambil penumpang di Stesen LRT Bandaraya yang turut sesak dengan pengunjung di laluan sama.

Sehubungan itu, penumpang bagi Laluan Ampang/Sri Petaling/Kajang yang ingin pulang selepas acara di Dataran Merdeka, diminta menggunakan stesen altenatif seperti Stesen Plaza Rakyat, Merdeka dan Sultan Ismail bagi mengurangkan kesesakan di Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya.

Namun pada jam 10 pagi tadi, Rapid KL memaklumkan Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya untuk Laluan Ampang/Sri Petaling sudah dibuka semula.

Katanya, orang ramai dinasihatkan mengikut arahan petugas stesen untuk perjalanan lebih lancar.

Sementara itu, tinjauan BH di Stesen LRT Masjid Jamek, sejak awal pagi tadi mendapati keadaan di dalam dan luar stesen berkenaan amat sesak dengan orang ramai yang mahu ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan acara perbarisan.

Orang ramai dilihat berasak-asak di Jalan Tun Perak di hadapan stesen LRT berkenaan yang ditutup daripada kenderaan, di kedua-kedua arah.– BERITA HARIAN

Loading...
Terkini