comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran hutan di R&R Bintang Hijau Sungai Rui telah dipadamkan sepenuhnya

Foto: JBPM Perak

IPOH: Kawasan hutan bukit seluas 4.04 hektar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau Sungai Rui, Gerik yang terbakar sejak tengah hari semalam, telah dipadamkan pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada kira-kira 10.30 pagi.

“Kebakaran melibatkan lalang di tepi jalan dan juga hutan di bukit setinggi 700 meter anggaran keluasan kira-kira empat hektar.

“Pemadaman sisa kebakaran dan pemantauan dilakukan bagi memastikan tiada lagi unsur kemerebakan api. Jabatan Perhutanan akan mengambil alih tindakan selanjutnya dan membuat pemantauan sepenuhnya di kawasan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Sabarodzi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.27 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan bantuan lori tangki air dari BBP Pengkalan Hulu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pemadaman dilakukan dengan menggunakan pancutan air dari lori tangki air, pam racun serta pemerap api sehingga kebakaran berjaya dikawal dan hanya sisa-sisa kecil api masih terdapat di atas bukit. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini