comscore
Tumpuan :
Nasional

Bahan api petrol dikenal pasti punca kebakaran kediaman Ngeh

FOTO: Ihsan Bomba

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Polis menerima laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, JBPM Perak, berhubung kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, Ipoh, 10 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi berkata, laporan itu diterima pada 18 Januari lalu.

“Pihak polis telah mendapatkan laporan daripada pihak forensik bomba yang mengatakan bahawa punca kebakaran ataupun molotov cocktail ini ialah daripada bahan petrol yang menyebabkan kebakaran ataupun letupan tersebut. Setakat ini pihak polis telah memanggil seramai 11 saksi untuk dirakam percakapan untuk membantu siasatan dalam melibatkan YB Ngeh Koo Ham ini,” katanya kepada Buletin TV3.

Tambahnya, polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci bagi mencari bukti terkini sekali gus memburu suspek yang bertanggungjawab.

Ia termasuk memperkukuh kerjasama dengan setiap kontinjen negeri.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes juga diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Komisioner Mohd Azalan Ab Karim melalui talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

12 Januari lalu, seorang lelaki berusia 30-an diberkas di sekitar Shah Alam, Selangor bagi membantu siasatan.

Dua telefon bimbit lelaki itu turut dirampas.

Dia bagaimanapun dibebaskan 16 Januari lalu dan akan dijadikan saksi sekiranya diperlukan.

Dalam kejadian awal pagi 10 Januari lalu, kediaman Datuk Ngeh dipercayai dilontar dengan molotov cocktail menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya, manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini