comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran kilang pusat perindustrian, LUAS kesan pencemaran bau

Foto: Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA : Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan pencemaran bau di Sungai Langat, Selangor susulan insiden kebakaran kilang di Pusat Perindustrian Budiman, Cheras.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat berkenaan insiden kebakaran melibatkan 10 kilang itu awal pagi semalam.

“Pensampelan LUAS di Sungai Langat telah mengesan bau sebanyak dua ton dan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) telah dimaklumkan segera,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Foto: Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)

Semakan awal pihaknya telah mengesan sisa kebakaran dan aliran air pemadaman mengalir masuk ke dalam sistem perparitan persekitaran, dan seterusnya ke Sungai Langat yang dianggarkan hanya 400 meter dari loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu LRA Batu 11,Cheras.

Penyaluran air mentah ke muka sauk LRA Batu 11, terpaksa ditutup sementara selama 3 jam bermula jam 3 petang semalam untuk pencegahan yang lebih teruk kepada operasi loji.

“Hasil usaha pencegahan, penyaluran air mentah ke LRA berkenaan dengan kapasiti 27 juta liter sehari (JLH) dan kemampuan bekalan kepada anggaran 8,779 akaun di sekitar 30 kawasan Cheras dan Balakong dapat beroperasi semula pada jam 6 petang setelah bacaan bau 0 ton direkodkan 3 kali berturut,” tambahnya lagi.

Foto: Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)

Sebagai langkah pencegahan di tapak, LUAS melaksanakan kawalan dengan menyekat dan menakung aliran persekitaran tersebut menggunakan 13 beg Activated Carbon (AC) sekitar 325 Kilogram (KG) di dalam ‘sump’ bagi tujuan nyah bau sebelum aliran tersebut mengalir ke Sungai Langat.

Kontraktor panel turut dilantik untuk melaksanakan kerja kawalan persekitaran dan penyedutan air sisa pemadaman di longkang sekitar kawasan kebakaran.

Kerja-kerja berkenaan siap sepenuhnya pada jam 10.30 malam, semalam.

Foto: Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)

Loy Sian berkata, aktiviti pemantauan dan pensampelan masih dilakukan dengan kekerapan setiap 30 minit di beberapa lokasi berpotensi di Sungai Langat, termasuk pemantauan statik di jambatan Teras Jernang.

Sehingga kini LUAS masih meneruskan kawalan dan pemantauan di lokasi kebakaran bagi memastikan aliran sisa dikawal sepenuhnya.

Semalam media melaporkan kebakaran berlaku di kawasan Perindustrian Budiman di Cheras, melibatkan sebanyak lapan kilang musnah sepenuhnya, antaranya, kilang makanan kucing, kabinet perabot, simpanan barang majlis, plastik billboard, model rumah, tembakau dan perabot tilam.

Manakala, dua lagi kilang audio kereta terbakar hampir 20 peratus.

Loading...
Terkini