comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran Tawau: Polis pantau kecurian, jenayah

Kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut, Tawau, awal petang tadi. – Foto ihsan JBPM

TAWAU: Polis Tawau akan memantau cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan melakukan kecurian atau jenayah lain susulan kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh berkata pemantauan ketat itu dilakukan berikutan jumlah rumah yang terlibat dengan kejadian itu adalah besar iaitu sebanyak 45 buah di kampung atas air itu.

“Daripada segi kecurian, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga boleh mengadakan kawalan untuk membantu dan pihak polis juga akan membuat rondaan berkala.

“Memandangkan ramai mangsa terlibat, dinasihatkan juga menjaga barang peribadi dan berharga serta dokumen penting supaya tidak hilang atau tercicir serta keselamatan masing-masing apabila ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini malam ini.

Champin juga berpesan kepada orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa berkenaan supaya menggunakan saluran yang betul iaitu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah agar agihan dapat dibuat secara adil dan sama rata.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam menyalurkan sumbangan terutama menerusi permintaan di media sosial serta menyalurkan sumbangan atau bantuan kepada pihak bertanggungjawab sahaja.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang tadi, dianggarkan 180 penduduk hilang tempat tinggal apabila sebanyak 45 rumah jenis tidak kekal yang dibina di atas air musnah dalam kebakaran membabitkan kawasan seluas 9,000 meter persegi.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini