comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedai makan terbakar, 7 kenderaan rosak

Sebuah kedai makan di Kampung Baru Cina, Batu 11, di sini, terbakar, pada Rabu- FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Tujuh kenderaan rosak selepas sebuah kedai makan di Kampung Baru Cina, Batu 11, di sini, terbakar lewat petang tadi.

Kedai makan satu tingkat itu dilaporkan terbakar kira-kira jam 6 petang tadi, sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein dan Serdang dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata kebakaran menyebabkan kedai makan berkeluasan 800 kaki persegi musnah 80 peratus.

Antara kereta yang rosak akibat kedai makan terbakar -FOTO: NSTP

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan tujuh kenderaan yang diparkir berhampiran kedai makan terbabit mengalami kerosakan akibat terkena bahang kebakaran.

“Tujuh kenderaan terbabit mengalami kerosakan pada bahagian luaran antara satu hingga 15 peratus.

“Kenderaan yang terjejas terdiri daripada dua Perodua Myvi, dan masing-masing satu Perodua Axia, Proton Saga, Toyota Vellfire, Proton X50 dan Nissan Serena,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata anggota bomba di lokasi berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak pada jam 6.18 petang.

“Kejadian itu tidak membabitkan mangsa dan buat masa ini, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini