comscore
Tumpuan :
Nasional

Kejadian buli di sekolah meningkat, 4,994 kes setakat Oktober

KUALA LUMPUR: Kes buli di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) menyaksikan peningkatan dengan sebanyak 4,994 kes direkodkan bagi 10 bulan pertama tahun ini berbanding 3,887 kes pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, kes buli bagi 2021 lebih rendah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan gelombang COVID-19.

”Begitupun, pada tahun 2022, jumlahnya meningkat mendadak kepada 3,887 kes manakala pada tahun 2023, sehingga Oktober, jumlahnya adalah 4,994 kes,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) di Dewan Rakyat.

Bakhtiar meminta KPM memperincikan kes buli melibatkan sekolah bawah kelolaannya dan status bagi setiap kes  dilaporkan.

Menurut Hui Ying, kesemua kes telah disiasat dan tindakan susulan sudah diambil, merangkumi sesi bimbingan dan kaunseling kepada pembuli dan mangsa.

Tambahnya, bagi mengurangkan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah, keterlibatan semua pihak, termasuk komuniti setempat, NGO dan ibu bapa, diperlukan.

“Terkini, KPM melancarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Di Institusi Pendidikan bertujuan menjadi rujukan kepada semua pihak berkepentingan di institusi pendidikan dalam menjelaskan kefahaman tentang salah laku buli dan implikasinya,” jelasnya.

Tambahnya, pelaksanaan Amalan Guru Penyayang di sekolah turut dilaksanakan serta mengadakan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

KPM juga menambah guru kaunseling di sekolah yang kes bulinya meningkat agar gejala tidak sihat itu dapat ditangani segera.

Turut disediakan saluran pelaporan bagi membolehkan pihak sekolah melaporkan kes buli terus kepada pihaknya.

Terdapat empat saluran utama Portal Aduan Buli iaitu Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, e-mel, talian telefon dan aplikasi Whatsapp.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini