comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelantan mahu jumpa Menteri Pengangkutan bincang isu sekatan bas pelancong

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor, akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung larangan kemasukan bas dari Thailand ke negeri sempadan termasuk negeri itu.

Beliau berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada kementerian berkenaan untuk pertemuan itu dan masih menunggu maklum balas.

Katanya, pada pertemuan itu nanti, bukan membabitkan Kelantan sahaja sebaliknya beberapa negeri yang bersempadan dengan Thailand termasuk Perak, Kedah dan Perlis yang berdepan isu sama.

“Sebenarnya kita baru mendapat maklumat daripada ejen pelancongan Selatan Thailand yang memaklumkan mereka tidak dibenarkan masuk ke Kelantan dan negeri sempadan yang lain menggunakan bas dari negara berkenaan.

“Mereka hanya dibenarkan masuk menggunakan kenderaan lain termasuk van dan sebagainya, manakala bas tidak dibenarkan. Larangan itu dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Mengikut fahaman kita, larangan berkenaan dibuat kerana mahu memberi peluang kepada pengusaha pengangkutan di Malaysia, namun isu yang berlaku pengangkutan bas kita sendiri pun tidak mencukupi,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, larangan berkenaan turut menjejaskan bilangan pelancong dari Selatan Thailand ke negeri sempadan termasuk Kelantan.

“Ini kerana kita dimaklumkan ramai pelancong yang mahu masuk ke Kelantan namun disebabkan larangan menggunakan bas, bilangan kemasukan berkurangan.

“Saya yakin sekiranya mereka dibenarkan masuk dengan bas, jumlah pelancong dari Thailand ke Kelantan meningkat seratus peratus kerana rakyat dari negara berkenaan suka membeli belah di pasaraya Kelantan.

“Sepatutnya larangan berkenaan tidak dibuat memandangkan kita sendiri dibenarkan masuk ke Thailand menggunakan bas, kenapa pula kita perlu sekat mereka yang mahu masuk dengan bas ke Malaysia?,” katanya.

Katanya yang turut yakin kemasukan pelancong dari Thailand juga menyumbang kepada sasaran Kelantan seramai 10 juta pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini