comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga minta jenazah Konstabel Iskandar dikebumi di Sibu

Allahyarham Konstabel Iskandar Ibrahim dalam gambar kenangan dengan isteri, Anis Nur Ezzati – FOTO: Anis Nur Ezzati / Facebook

KUCHING : Jenazah anggota polis, Konstabel Iskandar Ibrahim, yang lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit pada 7 Mac lalu dijangka tidak akan dibawa balik ke Kelantan, sebaliknya akan dikebumikan di Sibu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, itu keputusan awal hasil perbincangan dengan keluarga mangsa.

“Setakat ini, hasil perbincangan dengan keluarga Allahyarham iaitu isteri serta ibu bapanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang di Sibu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat Iskandar, 28, ditemui selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.

Mayat mangsa ditemui terapung oleh orang awam pada jam 11.30 pagi tadi di kawasan Teluk Seputin yang dianggarkan tujuh kilometer (km) di hilir lokasi bot karam.

Mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Kapit sementara menunggu proses bedah siasat yang akan diadakan pada Isnin depan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, 7 Mac lalu, bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti SK Lepong Baleh.

Salah seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi termasuk dua anggota polis hilang dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu termasuk Iskandar dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.

Dua mayat mangsa ditemui pada 9 Mac lalu iaitu Jack Balan dan Sarjan Jonathan Lambet manakala mayat ketiga iaitu Amerson John Nain, pula ditemui pada 10 Mac lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini