comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua mangsa bot karam Sungai Batang Baleh ditemui lemas

Foto ihsan bomba

KUCHING: Dua mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit, petang Khamis lalu, ditemukan lemas, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat pertama ditemui terapung oleh anggota polis di perairan berdekatan Pulau Kerto, Sibu kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, mayat kedua pula ditemui terapung oleh anggota bomba pada jam 4.02 petang kira-kira lima kilometer dari lokasi bot karam di Sungai Batang Baleh.

“Mayat pertama yang ditemui di Pulau Kerto, Sibu dikenalpasti sebagai salah seorang penumpang bot berkenaan iaitu Jack Balan.

“Mayat kedua yang ditemui pula disahkan sebagai anggota polis yang turut berada di dalam bot karam itu iaitu Sarjan Jonathan Lambet,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, operasi kini diteruskan untuk mengesan dua lagi mangsa iaitu seorang daripadanya anggota polis iaitu Konstabel Iskandar Ibrahim, manakala seorang lagi Amerson John Nain.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.

Salah seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi hilang dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dan peledak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini