comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemalangan babitkan warga Pakistan: Polis nafi pemandu kereta dipukul rakan mangsa

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. Foto: NSTP

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Polis menafikan pemandu kereta Proton Saga yang menyebabkan tiga lelaki warga Pakistan maut dalam kemalangan di Teluk Intan – Bidor semalam dipukul rakan mangsa seperti ditunjukkan sebuah video yang tular.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang dihubungi Buletin TV3 sebaliknya berkata, hanya kekecohan kecil berlaku selepas kemalangan itu dan berjaya dileraikan sejurus polis tiba di lokasi.

“Kekecohan disebabkan pihak terbabit yang tidak berpuas hati apabila tiga rakan mereka terkorban dalam nahas itu selain tiga lagi cedera parah. Susulan kejadian itu, pihak kami telah merakam keterangan tiga saksi kejadian bagi membantu siasatan.

“Keterangan tiga lagi mangsa yang cedera akan diambil sebaik mereka pulih.Ketika ini kesemua mangsa sedang dirawat di hospital Teluk Intan,” katanya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dalam kenyataanya berkata, kemalangan terbabit berlaku di kilometer 16 jalan Teluk Intan-Bidor sekitar 8 pagi semalam.

Kesemua mangsa berusia 20 hingga 35 tahun yang meninggal dunia akibat cedera parah mempunyai permit dan dokumen perjalanan sah.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar mangsa berada di bahu jalan .

Saringan air kencing mendapati lelaki itu positif ganja.

Dia ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian.

Polis juga menahan kenderaan terbabit bagi tujuan pemeriksaan Puspakom.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini