comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemalangan maut berhampiran Jambatan Bailey 

FOTO: JBPM

Oleh: Fazli Ahmad

PEKAN: Seorang pemandu maut selepas lori dipandunya terjatuh ke dalam lubang mendapan disebabkan hakisan berhampiran Jambatan Bailey  di Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Paloh Hinai, di sini, malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 8:53 malam.

Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chini bergegas ke lokasi kejadian.

“Pemandu lori tersepit dalam kenderaan terbabit dan bomba bertindak mengeluarkan mangsa.” katanya menerusi kenyataan media.

FOTO: JBPM

Zulfadli berkata, operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa lebih 40 minit.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Identiti mangsa belum dikenalpasti dan mayat dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Difahamkan ketika kejadian lori terbabit dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah ke Kuantan.

Sebelum ini, Jambatan Bailey itu dibina selepas berlaku mendapan di jalan kawasan terbabit pada 7 Januari lalu, hingga menyebabkan ia berlubang.

Susulan itu Jambatan Bailey sepanjang 30.48 meter dengan kelebaran 9.3 meter dibina 16 Januari lalu dan laluan itu dibuka semula 11 hari kemudian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini