comscore
Tumpuan :
Nasional

Kematian warga emas ketika operasi anjing liar diklasifikasikan mati mengejut

KUANTAN: Kematian seorang warga emas ketika operasi menangkap anjing liar di Taman Saga, Bentong, Rabu lepas sehingga tular di media sosial, diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Bentong mengesahkan punca kematian lelaki berusia 79 tahun itu adalah akibat respiratory arrest secondary to acute exacerbation of chronic obstructive pulmonary disease.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, terdapat dua laporan polis dibuat pada hari kejadian iaitu daripada petugas Majlis Perbandaran Bentong (BPB) berusia 55 tahun dan anak perempuan mangsa berumur 53 tahun yang memaklumkan bapanya rebah dan pengsan di depan rumah.

Polis juga selesai merakamkan percakapan petugas MPB itu dan anak mangsa serta beberapa saksi kejadian.

“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian atau membuat komen tidak wajar melalui media sosial atau membangkitkan isu perkauman,” katanya menerusi kenyataan di sini, lewat malam tadi.

Zaiham juga memohon saksi yang turut menyaksikan kejadian untuk membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melalui talian 09-2222222 atau balai polis berdekatan.

Pada Rabu, tular dakwaan seorang lelaki maut di Taman Saga semasa dikatakan cuba menghalang kakitangan majlis perbandaran menangkap anjing peliharaannya pada operasi anjing liar di kawasan perumahan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun turut meminta orang ramai untuk menunggu hasil siasatan penuh pihak polis, dengan MPB memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, operasi kendalian Unit Haiwan Liar dan Terbiar, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran yang membabitkan 10 individu termasuk empat kontraktor dilantik MPB dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Loading...
Terkini