comscore
Tumpuan :
Nasional

Kembara KJ bantu dan dekati komuniti memerlukan

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan 

KUALA LUMPUR: Ibarat serampang dua mata, sambil mengembara, ambil peluang menabur bakti.

Itu peribahasa paling tepat bagi menggambarkan perjalanan seorang pencipta kandungan, yang berkongsi tentang budaya unik ditawarkan negara-negara yang dilawatinya. Bukan itu sahaja, pelbagai isu-isu sosial yang ditemui ketika mengembara turut diketengahkan.

Khairul Jamain, 30 tahun atau lebih mesra disapa KJ ketika ditemui menceritakan kisah bagaimana dia pertama kali dia boleh mula mengembara.

Bermula dengan hanya sekeping tiket perjalanan dari Ipoh ke Hua Lamphong, Bangkok, Thailand sebagai seorang ‘backpackers’, siapa sangka kini pemuda ini sudah mempunyai hampir 400 ribu orang pengikut di laman sosial Youtube.

KJ mengakui pada awalnya, dia tidak pernah terfikir untuk berkongsi kisah perjalanannya kepada orang ramai.

“Saya mula mengembara sebenarnya pada penghujung tahun 2014. Kalau tak silap, ketika itu, umur saya baru berusia 21-22 tahun.

“Masa itu, tidak terfikir langsung nak buat Youtube sebenarnya. Tapi semakin lama, dalam hati saya ada rasa mesti seronok kalau ada Youtube sendiri, sebab bila kita tengok Youtube orang lain, lebih-lebih yang dari luar negara.”

Ditanya pula mengenai keputusannya untuk membantu dan mengetengahkan isu-isu sosial di tempat-tempat yang dilawatinya, dia memberitahu, pengalamannya berjumpa dan dibantu dengan orang-orang baik ketika mengembara secara solo, membuatkannya ingin memberi semula kepada masyarakat.

“Jadi semasa saya mengembara selama tiga tahun setengah, saya sebenarnya jumpa ramai orang yang baik. Saya banyak belajar daripada mereka dan dalam pada masa sama, saya tinggal dengan komuniti-komuniti ini.”

“Walaupun mereka ini susah, tapi mereka sangat baik walaupun saya org luar, walaupun kita tidak ada apa-apa. Jadi bila mereka beri sesuatu, dalam hati saya ada niat nak beri semula kepada masyarakat, terutama kepada yang membantu kita.”

“Sebab itu, bila saya dah berjaya sikit, saya cuba ketengahkan isu-isu sosial terutama di Sabah dan luar negara.” katanya.

Kini, KJ bukan sahaja cuba membantu komuniti-komuniti di dalam negara, malah turut ke luar negara menghulurkan bantuan kepada masyarakat di sana.

Katanya, antara fokus utamanya dan badan bukan kerajaan (NGO) yang disertainya – isu pendidikan dan kesihatan.

“Isu yang kami tekankan dan ketengahkan ialah isu pendidikan dan kesihatan, lebih-lebih lagi kepada komuniti yang tinggal di atas air. Sebab kita tahu, kebanyakkan komuniti perkampungan atas air ini, mereka tidak mampunyai dokumen, yang tiada ic atau dokumen.”

“Kita tahu mereka ini tidak dapat peluang pembelajaran (kerana tiada dokumen), selain untuk ke hospital dan dapatkan bantuan kesihatan. Bagi mereka, pendidikan itu mahal, sebab itu kami cuba sekurang-kurangnya bantu mereka dapatkan peluang pendidikan, sebab bagi saya, untuk seseorang itu keluar dari kemiskinan, adalah dengan pendidikan.”

KJ berharap, dengan perkongsiannya dan konten yang disediakan itu, dapat membuka mata dan memberikan kesedaran kepada pihak di luar sana.

“Sekurang-kurangnya ada kesedaran kepada masyarakat, bahawa kehidupan ini, kalau kita rasa susah, dekat luar sana ada yang lagi susah dan memerlukan perhatian kita.”

Loading...
Terkini