comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian Komunikasi jumpa pengendali platform media sosial bulan hadapan – Fahmi

KUCHING: Kementerian Komunikasi akan mengadakan perjumpaan bersama pengendali platform media sosial termasuk Meta bulan depan di Singapura.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pertemuan itu bagi memberikan penegasan terhadap beberapa perkara termasuk prinsip kebebasan media yang diamalkan di Malaysia.

Katanya, penegasan itu susulan tindakan Meta menurunkan laporan berita yang dimuat naik organisasi media Malaysia berkenaan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Hasidah di Qatar, 13 Mei lalu.

“Laporan berita itu yang telah diturunkan telah dimuat naik oleh organisasi media sebagai berita, jadi itu bukan bahan fitnah, itu bukan berita palsu tapi bagi saya isu tersebut sepatutnya tidak berlaku langsung.”

“Namun kita harap pihak META akan lebih cakna tentang perkara ini dan bulan Jun nanti saya akan ke Singapura untuk bertemu dengan semua platform media sosial bagi memberi penegasan tentang beberapa perkara termasuk prinsip kebebasan media yang harus mereka juga berikan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan reruai pameran Hari Wartawan Nasional HAWANA di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Fahmi, isu itu sudah selesai apabila laporan berita itu dikembalikan semula selepas satu sidang media mengenainya dilakukan pada pasca persidangan Dewan Rakyat lepas.

Mengulas mengenai penganjuran HAWANA 2024 beliau berkata selain wartawan tempatan HAWANA 2024 turut di sertai wartawan daripada 11 negara dengan enam daripadanya wartawan dari rantau Asia Tenggara.

Menurut Fahmi, pada hari perasmian HAWANA 27 Mei ini, Perdana Menteri dijangka akan mengumumkan beberapa insentif bagi pengamal-pengamal media di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini