comscore
Tumpuan :
Nasional

Kempen boikot produk kelapa sawit: Menteri keluar amaran untuk peruncit, pemborong, pengimport 

KUALA LUMPUR: Peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini diingatkan untuk tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Ghani, berkata kementeriannya akan bertindak tegas terhadap kempen boikot terbabit yang sebelum ini dilaksanakan dengan agresif di luar negara.

“Sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, kementerian mahu tekankan bahawa kita kini lebih serius memerangi produk yang memboikot hasil kelapa sawit di dalam negara.

“Saya ingin memberi amaran ini kepada peruncit, pemborong dan pengimport yang kita akan tegas kuatkuasakan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 kepada mereka.

“Malah, selepas ini kementerian akan memaklumkan Jabatan Kastam Diraja untuk lebih tegas dan teliti dalam pemeriksaan produk yang masuk ke negara ini berkaitan pelabelan boikot produk kelapa sawit,” katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Amaran dan penegasan itu dibuat susulan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya semalam kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan “No Palm Oil” (NPO) atau “Tiada Minyak Sawit” pada plastik pembungkusan produk itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata serbuan yang bermula 11.45 pagi itu ialah berdasarkan aduan awam yang diterima KPDN dan hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemukan produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan NPO.

Kesemua produk aiskrim terbabit telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk kempen menangani anti minyak sawit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini