comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenaikan gaji penjawat awam diumum seawal Oktober  – KPPA

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan berita baik berhubung perubahan struktur gaji penjawat awam seawal Oktober ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed, berkata ketika ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperincikan kajian serta maklum balas daripada responden penjawat awam untuk tujuan itu.

Katanya, JPA juga bersetuju mempercepatkan tempoh kajian itu selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan kerajaan memberi fokus terhadap struktur gaji dan elaun penjawat awam.

“Setiap kali kajian sedemikian berlaku, maka berlakulah kenaikan gaji penjawat awam.

“Dalam tempoh terdekat ini ini, iaitu bulan 10 atau awal bulan satu (Januari) akan ada pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri,” katanya pada sidang media mengenai Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, di sini hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, JPA dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) pada 7 Ogos 2023 bagi membincangkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menurut JPA, mesyuarat itu diadakan susulan pengumuman Anwar bagi mengkaji semua sistem saraan perkhidmatan awam.

Loading...
Terkini