comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenaikan tarif air 16 sen di Terengganu berkuatkuasa 1 Februari 2024

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Kenaikan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Terengganu ditetapkan sebanyak 16 sen bagi penggunaan hingga 20 meter padu, berkuatkuasa 1 Februari 2024.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut, kadar semasa tarif air di negeri itu adalah 42 sen dan kali terakhir disemak 26 tahun lalu iaitu pada tahun 1997.

“Untuk negeri Terengganu penggunaan sehingga 20 meter padu yang pertama kadar air kita semak daripada kadar semasa 42 sen, bermula 1 Februari 2024 akan datang menjadi 58 sen dan ada kenaikan 16 sen termasuk caj elektrik yang dibenarkan”, katanya pada sidang media pelarasan tarif air Semenanjung Malaysia bagi Negeri Terengganu Darul Iman di pejabat SATU Kuala Terengganu.

SATU sebagai penyedia perkhidmatan bekalan air terawat di Terengganu kepada lebih 1.2 juta rakyat yang meliputi 342,364 akaun termasuk pengguna domestik serta bukan domestik yang merangkumi perusahaan kecil dan sederhana sehingga kepada pengguna industri.

Berdasarkan pengumuman oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Rabu lalu, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian subsidi dan inisiatif kepada pengguna domestik seperti disarankan termasuk pelarasan tarif bekalan air pengguna domestik dan caj elektrik sebanyak 8 sen per meter padu kepada semua kategori pengguna domestik dan bukan domestik.

Bagi isi rumah yang menggunakan air sehingga 20 meter padu, kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih dari 42 sen per meter padu kepada 58 sen per meter padu termasuk caj elektrik.

Bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu setiap bulan, caj baharu akan meningkat sebanyak RM3.20 sebulan atau 10.7 sen sehari.

Penggunaan Air 20 meter padu hingga 35 meter padu pula, kadar caj baharu bagi kategori ini akan beralih dari 65 sen per meter padu kepada 83 sen per meter padu.

Peningkatan keseluruhan bagi rumah yang menggunakan air 35 meter padu adalah sebanyak RM5.90 sebulan atau 20 sen sehari.

Ia membabitkan 11,832 akaun dengan kos tanggungan lebih RM1 juta setahun.

Pada masa sama, beliau berkata pemberian subsidi air juga akan diteruskan kepada masjid dan surau berdaftar melibatkan 1,883 akaun dengan kos tanggungan bernilai RM1.4 juta setahun, menjadikan RM2.5 juta setahun ditanggung kerajaan negeri bagi tujuan itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini