comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenyataan terhadap Zakir Naik berdasarkan analisis sendiri – Ramasamy

Ramasamy (kanan) meninggalkan mahkamah selepas sambung bicara kes saman fitnah oleh pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P Ramasamy memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa kenyataan dikeluarkannya terhadap Dr. Zakir Naik adalah berdasarkan bukti serta analisis sendiri.

Kenyataan Ramasamy yang didakwa Zakir sebagai memfitnahnya, antaranya yang disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017 yang mendakwa Malaysia melindungi apa disifatkannya sebagai pelarian dari India.

Dalam perbicaraan kes saman fitnah dikemukakan Zakir di Mahkamah Tinggi hari ini, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader merujuk Ramasamy dengan laporan berita yang menyatakan Zakir bukan seorang ekstremis, sebaliknya pakar dalam perbandingan agama.

Laporan berita berkenaan memetik beberapa kenyataan antaranya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Akberdin juga merujuk Ramasamy dengan laporan polis antarabangsa (INTERPOL) yang membersihkan nama Zakir daripada dakwaan jenayah keganasan dan ucapan kebencian serta membersihkan namanya daripada senarai notis merah.

Ramasamy menjawab, beliau menyedari dan tahu mengenai semua laporan berkenaan dan bersetuju dengan penemuan INTERPOL.

Bagaimanapun, pemimpin DAP itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau tiada bukti untuk menyokong dakwaan Zakir seorang pelarian yang dikehendaki kerajaan India berdasarkan (Zakir) sudah ‘dibersihkan’ namanya oleh INTERPOL pada 2017, 2019 dan 2021.

Katanya, beliau menggunakan perkataan pelarian terhadap plaintif (Zakir) berdasarkan bahawa Zakir dikehendaki oleh kerajaan India.

Jelas Ramasamy, kenyataan itu dibuat berdasarkan analisisnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz bersambung 2 Ogos ini.

Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ dalam laman Facebook.

Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap, berkata Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai pelarian dari India.

Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan, yang diterbitkan portal berita pada hari sama.

Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.

Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini