comscore
Tumpuan :
Nasional

Dr Zakir Naik sumbang RM1.52 juta bayaran saman Ramasamy kepada Palestin

FOTO: Dr Zakir Naik/ Facebook

PETALING JAYA: Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik memutuskan untuk menyumbang kesemua bayaran saman bekas Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy berjumlah RM1.52 juta kepada rakyat Palestin.

Zakir dalam satu kenyataan di Facebook berkata, sumbangan berkenaan demi melindungi kawasan suci ketiga umat Islam Masjid Al Aqsa dan rakyat Palestin.

Ia juga bagi melaksanakan fardu kifayah atau kewajipan bersama bagi seluruh umat Islam dalam mempertahankan tempat suci umat Islam itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi Malaysia kerana mengarahkan Ramasamy, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II untuk membayar saya RM1.52 juta sebagai ganti rugi fitnah.

“Saya ingin menderma jumlah penuh RM1.52 juta ($320,000) kepada perjuangan Palestin. Saya berdoa agar Allah menerima daripada saya usaha yang rendah ini keranaNya,” jelas beliau.

Dr Zakir turut berdoa agar agar Allah memberikan keteguhan dan kemenangan kepada penentangan Palestin.

“Semoga Dia meringankan penderitaan saudara-saudara kita di Palestin, menguatkan mereka melawan penindas mereka, dan memasukkan syuhada mereka ke darjat tertinggi di Syurga. Amin,” katanya.

Pada 2 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ramasamy membayar ganti rugi lebih RM1 juta dalam tempoh 30 hari kerana memfitnah pendakwah bebas itu.

Ia susulan keputusan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz yang membenarkan saman  difailkan Dr Zakir.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini