comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kepala air landa Bukit Kachi

 

Anggota APM Kubang Pasu melakukan pemantauan di kawasan rumah penduduk yang terjejas dinaiki air akibat kepala air di Bukit Kachi, Sintok berhampiran UUM

JITRA: Hujan lebat yang melanda hari ini menyebabkan berlaku kejadian kepala air dan pokok tumbang di kawasan sungai di Bukit Kachi, Sintok berhampiran Universiti Utara Malaysia (UUM).

Berdasarkan video tular, kepala air melanda sekitar jam 4.20 petang itu menghampiri paras pinggang.

Kepala air itu menyebabkan empat buah rumah dan sebuah surau terjejas dinaiki air berikutan hampir dengan sungai berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan kejadian kepala air itu.

“Pihak APM Kubang Pasu menerima laporan kejadian bencana pada hari ini jam 7 petang daripada orang awam dan tindakan yang dilakukan oleh Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) adalah dengan melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

“Sewaktu kejadian kepala air berlaku, paras air sungai melebihi aras bahaya iaitu 46.13 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Adenin berkata, bagaimanapun paras air di kawasan itu menunjukkan trend menurun tidak lama kemudian.

Bagaimanapun katanya, anggota APM Kubang Pasu masih berada di lapangan melakukan pemantuan ketika ini dan dalam keadaan bersiap sedia.

“Keadaan terkawal dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera setakat ini.

“Namun kita menasihatkan penduduk di kawasan berisiko rendah supaya berhati-hati dan sentiasa peka dengan perubahan cuaca selain bersiap sedia untuk berpindah jika kediaman mereka dinaiki air,” katanya.

Loading...
Terkini