comscore
Tumpuan :
Nasional

“Kerajaan akan saman supaya mereka bayar semua kos”  – Azalina

KUALA LUMPUR: Susulan tuntutan palsu dan tidak berasas ke atas Sabah, Kerajaan akan memfailkan saman terhadap Kumpulan Sulu  kerana menyebabkan negara terpaksa menanggung pelbagai implikasi termasuk dari segi kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata selain memastikan kebenaran berpihak kepada Malaysia, tindakan saman juga bagi menuntut kumpulan berkenaan membayar kos berkaitan kes yang terpaksa dikeluarkan negara disebabkan tuntutan tidak berasas itu.

“Kerajaan akan saman kumpulan itu supaya mereka membayar semua kos yang sudah kerajaan belanjakan untuk mempertahankan kedaulatan negara dalam kes tuntutan itu.

“Mereka perlu membayar semua kos yang kita hadapi ketika berhadapan tuntutan termasuk kos kita pergi ke sana sini (bagi mempertahankan diri), kos mendapatkan perunding dan peguam dan pakar luar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Bersama Ketua Penerangan UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris semalam, kerajaan lebih yakin bagi menghadapi dua lagi kes tuntutan iaitu di Mahkamah Amsterdam pada 27 Jun dan di Luxemburg pada September depan.

Katanya, keputusan Mahkamah Paris semalam mengesahkan proses abritrasi itu berhubung tuntutan Kumpulan Sulu itu tidak wujud.

“Keputusan semalam jelas menunjukkan kumpulan Sulu ini mengambil kesempatan dan tidak mengikut undang-undang, sebaliknya bertindak menggunakan platform timbang tara komersial antarabangsa dengan menyasarkan aset negara.”

”Jelas sekali Kumpulan Sulu menyalahgunakan undang-undang, mengapa mereka melompat dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain selepas sudah ada keputusan di Sepanyol dalam kes tuntutan ini,” katanya.

Mahkamah Rayuan Paris semalam mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar ‘Partial Award’ yang diputuskan Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang juga Kumpulan Sulu.

Mahkamah mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya, sekali gus memberi kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang dan menolak tuntutan tidak masuk akal yang dikemukakan.

Loading...
Terkini