comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan batal projek lapangan terbang Tioman – Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan  projek pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman baharu selepas mendapati ia berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada alam sekitar.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan itu diputuskan Jemaah Menteri selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), hari ini.

“Daripada laporan EIA kementerian mendapati bahawa cadangan itu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan.

“Oleh itu Mesyuarat Jemaah Menteri secara dasarnya bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan lapangan terbang antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76% kawasan tambakan laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, keputusan untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan lapangan terbang itu  selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.

“Kementerian telah mengambil maklum kebimbangan disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut.

“Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, namun ia akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang membawa kepada pelancongan yang tidak mampan,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Nik Nazmi berkata kementeriannya akan meneliti laporan EIA berhubungan cadangan pembangunan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman.

Media sebelum ini melaporkan projek berkenaan berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di kawasan itu.

Laporan EIA oleh Jabatan Alam Sekitar turut mengenal pasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di kawasan itu akan terancam.

Loading...
Terkini