comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan belanja RM3.46 bilion bagi pelaksanaan Kaedah Aliran Bebas Pelbagai Lorong

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM3.46 bilion bagi pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol di negara ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata kajian MLFF berkenaan akan dilaksanakan pada 2024 sebelum penggunaan sepenuhnya dijangka dapat dikuatkuasakan setahun selepas itu.

 

Mengulas lanjut katanya, sebagai persediaan terhadap pelaksanaan MLFF, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperkenalkan sistem bayaran terbuka di lebuh raya bertol di Malaysia dalam masa terdekat ini.

“Ia membolehkan pengguna membuat bayaran tol daripada pelbagai pilihan sumber kewangan seperti kad kredit berbanding hanya Touch ‘n Go dan dompet elektronik, Touch ‘n Go eWallet.

“Dalam usaha pelaksanaan MLFF, kita memerlukan masa kira-kira setahun setengah atau dua tahun, malah surat hasrat (LOI) sudah dikeluarkan kepada konsesi terbabit bagi memastikan kajian itu dapat berjalan lancar,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Rahman berkata, kerajaan komited menambah baik mutu pengurusan lebuh raya membabitkan trafik berjumlah empat hingga lima juta kenderaan sehari di semua jaringan berkenaan.

Beliau berkata, penggunaan MLFF yang turut diamalkan oleh banyak negara maju adalah selaras dengan ‘Malaysia Intelligent Transportation System Blueprint 2019-2023’.

Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) kemudiannya bangun mencelah dengan menyatakan kajian MLFF itu terlalu lama selain mencadangkan laluan pelbagai, diaktifkan selain menggunakan teknologi komunikasi dalam mengurangkan kesesakan di lebuh raya bertol.

“Dulu masa timbalan menteri tak jadi timbalan menteri KKR, inilah yang antara timbalan menteri mengadu dengan saya semasa di Kuala Lumpur dengan menyatakan takkan tidak boleh buat, jadi saya ungkit balik kalau boleh ubah apa yang timbalan menteri jawab,” katanya.

Abdul Rahman menjelaskan bahawa MLFF yang memerlukan perbelanjaan besar ini harus melalui kajian terlebih dahulu kerana ia membabitkan penggantian infrastruktur berikutan sistem itu tidak lagi menggunakan tiang di bahagian tengah lorong.

“Kita nak buat mesti ada kajian sebab kita akan ganti segala yang ada pada hari ini kepada yang baharu…MLFF tidak ada lagi tiang di tengah, sebaliknya hanya tiang antara jalan ke jalan.

“Lorongnya juga akan bertambah berbanding tiga hingga enam lorong kini, namun saya tidak boleh menyatakannya berapa kerana ia sedang dalam rangka pelukisan oleh pihak yang mendapat konsesi ini,” katanya.

Mengenai celahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) sama ada pelaksanaan MLFF boleh menyebabkan kenaikan harga tol, Abdul Rahman bagaimanapun berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

“Tetapi untuk jangka hayat perjanjian konsesi bagi MLFF ini, saya maklumkan kemudian kerana saya tidak mahu tersilap jawab…sebenarnya tak ada cadangan berapa jangka panjang tempoh konsesi MLFF ini,” katanya.

Terdahulu, Jalaluddin mencadangkan supaya kerajaan membuat satu kajian forensik terhadap jalan raya yang dikenalpasti boleh mengakibatkan kemalangan hingga membawa kematian.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya, Jalaludin berkata, jika isu jalan yang boleh mengakibatkan kematian ini boleh diselesaikan satu persatu, Kerajaan Perpaduan akan didokong masyarakat bandar dan luar bandar dalam tempoh yang lama.

Loading...
Terkini