comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan kaji perkhidmatan bas berdasarkan permintaan

Oleh: Juliana Sharin & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan perkhidmatan bas berdasarkan permintaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia bertujuan meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam darat terutama bagi menghubungkan destinasi terakhir antara stesen rel dengan kawasan penempatan dan lokasi pekerjaan.

Kerajaan sedang kaji perkenal perkhidmatan bas berdasarkan permintaan, terutama untuk menghubungkan destinasi akhir antara stesen rel dengan lokasi penempatan atau pekerjaan. – Foto hiasan

“Ketika ini di Lembah Klang, rangkaian pengangkutan awam darat merangkumi lapan perkhidmatan rel dikendalikan Rapid KL, Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Express Rail Link, selain perkhidmatan bas henti-henti yang disediakan Rapid KL serta pengendali lain yang membabitkan 298 laluan menghubungkan hab utama pengangkutan awam darat.,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Bagi mengurangkan kos pengguna, kerajaan memperuntukkan dana RM115 juta setahun untuk inisiatif My50, iaitu pas perjalanan tanpa had untuk 30 hari bagi perkhidmatan rel dan bas yang disediakan Rapid KL.

Mengulas perkhidmatan di luar Lembah Klang, beliau memaklumkan pengangkutan awam darat tertumpu kepada bas henti-henti yang menghubungkan pusat penempatan dengan bandar terdekat.

Bagi menjamin penyediaan perkhidmatan bas henti-henti yang berterusan, kerajaan memperuntukkan dana RM105 juta setahun di bawah program Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) sebagai bantuan kepada pengendali yang menanggung kerugian operasi agar tetap menyediakan perkhidmatan merangkumi 265 laluan di Semenanjung dan 88 laluan di Wilayah Sabah dan Sarawak.

Selain itu, melalui Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST/MyBAS), kerajaan memperuntukkan dana RM150 juta tahun ini bagi membiayai perkhidmatan sedia ada dan peluasan MyBAS yang sedang diusahakan untuk beberapa bandar lain.

Ia bertujuan menambah baik perkhidmatan daripada aspek kemampanan, kebolehharapan dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Loading...
Terkini