comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket edar dadah di Lembah Klang tumpas

Foto ihsan PDRM

KUALA LUMPUR: Kegiatan tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu di sekitar ibu negara tumpas dalam serbuan berasingan di Lembah Klang, kelmarin serta semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi tiga serbuan di Jalan Kampung Pandan dan Setapak, di sini, selain sebuah kondominium di Kajang, Selangor.

“Dalam serbuan di Jalan Kampung Pandan dan Kajang, kami menahan dua lelaki dan seorang wanita selain merampas kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan 48 gram (g) heroin.

“Serbuan di Setapak pula membawa kepada penahanan seorang lelaki dengan rampasan dadah kira-kira 2 kg ganja, semalam. Semua individu yang ditahan berusia antara 23 hingga 47 tahun.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu boleh dibekalkan kepada seramai 27,141 penagih dadah,” katanya satu dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, beberapa aset milik sindiket itu turut dirampas termasuk kereta Honda City, kereta Toyota Vios, gelang tangan (6), rantai leher (4), cincin (8), anting-anting (15), loket (2), dan wang tunai RM200.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah RM85,430 dan keseluruhan rampasan sitaan bernilai RM110,200.

“Sindiket dikesan aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Lembah Klang dan pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca bekalan dadah diperolehi,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian awal air kencing dilakukan mendapati seorang daripada empat suspek berkenaan positif dadah jenis ganja.

“Suspek direman selama 7 hari hingga 24 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Loading...
Terkini