comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Kelantan tawar biasiswa kepada Syahril

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menawarkan biasiswa menerusi Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang tular menjaga ibu sakit untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.

Artikel berkaitan: Terima 10 tawaran melanjutkan pelajaran dan biasiswa

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, Muhammad Syahril Saidi,18, adalah pelajar soleh yang berbakti kepada orang tuanya.

“Di samping itu, pelajar berkenaan gigih dalam menuntut kecemerlangan ilmu sehingga memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM.

“Justeru, kerajaan negeri bersetuju memberikan biasiswa pengajian daripada YAKIN untuk Muhammad Syahril melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad melawat Muhammad Syahril atau lebih dikenali sebagai Syahril di rumahnya di Kampung Kandis dan menyampaikan sumbangan.

Ahmad turut mengucapkan tahniah kepada Syahril dan berharap kejayaan pelajar itu akan menjadi contoh kepada pelajar lain dan sentiasa diberkati oleh Allah SWT.

Terdahulu, kisah Syahril tular selepas pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu menjaga ibunya yang sakit, namun berjaya memperoleh keputusan 11A dalam SPM 2022 yang diumumkan, Khamis lalu.

Syahril menerima keputusan SPM daripada pihak sekolah yang hadir ke rumahnya kerana dia tidak dapat ke sekolah kerana menjaga ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang tidak sihat kerana angin ahmar sejak 2019.

Bagaimanapun, Tuan Faridah meninggal dunia, Sabtu lalu.

Syahril turut menerima lebih 10 tawaran untuk melanjutkan pelajaran termasuk biasiswa.

Loading...
Terkini