comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan lanjut tempoh subsidi penerbangan 4 hari sebelum Aidilfitri

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan melanjutkan tempoh bantuan subsidi penerbangan dari tiga hari kepada empat hari sebelum sambutan Aidilfitri bermula 6 hingga 9 April ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, ia diadakan berdasarkan sambutan orang ramai dan individu yang membeli tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan atau sebaliknya pada empat hari tersebut tidak akan membayar melebihi RM599.

Menurutnya, untuk harga tiket asas, sebarang kos melebihi harga maksimum tersebut akan ditanggung Kerajaan tidak termasuk cukai dan fi hanya untuk pergi sahaja.

Katanya, harga maksimum ini boleh membantu penumpang yang terpaksa membeli tiket penerbangan pada saat akhir atau di laluan yang mempunyai permintaan yang tinggi dalam perjalanan balik kampung.

“Walau bagaimanapun penumpang boleh mendapatkan harga yang lebih murah sekiranya merancang perjalanan lebih awal,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Pada 15 Disember lalu, MOT telah melancarkan inisiatif bantuan subsidi sempena musim perayaan untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan.

Di bawah inisiatif ini, Kerajaan Madani akan menanggung kos tiket penerbangan sehala yang melebihi RM599 untuk 3 hari dan penambahbaikan ini dijangka akan memberi implikasi kewangan tambahan sehingga RM1.8 juta.

Menurutnya, MOT melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah memudahcara sebanyak 342 penerbangan domestik tambahan di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April ini.

Loke berkata, perkhidmatan KTM juga telah menerima sambutan yang baik di Semenanjung dan bagi memenuhi permintaan tersebut, KTMB akan menyediakan enam perkhidmatan tren ETS tambahan bermula dari 4 hingga 15 April.

Katanya, perkhidmatan tambahan ETS ini menawarkan sebanyak 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket tambahan adalah 15,120 termasuk tren ekspres.

“Jumlah keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri ini adalah 135,000 tiket,”katanya.

Loke menambah,bagi penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur, KTMB turut menyediakan dua perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya menawarkan 952 tiket.

Katanya,Tren Khas ELA ini akan berhenti di 17 buah stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

“Tiket tambahan untuk ETS dan perkhidmatan khas ELA akan mula dijual pada hari ini bermula jam 5 petang dan orang ramai boleh membuat pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan juga di kiosk-kiosk tiket yang tersedia di semua stesen-stesen utama KTMB,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini