comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Mesir mahu Wisma Putra selaras bantuan kemanusiaan Gaza

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, susulan perang Israel-Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, keadaan di kawasan konflik tidak mengizinkan, malah penghantaran bantuan hanya dibenarkan menerusi Rafah, Mesir.

“Sumbangan harus diuruskan dengan sebaik-baiknya dan kita diberi tanggungjawab. Kerajaan Mesir minta supaya Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar (Wisma Putra) untuk urus bersama (bantuan NGO). Sesiapa nak beri (bantuan) kita uruskan, kita tidak halang mana-mana pihak namun ia perlu diurus melalui Wisma Putra,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Sumbangan Perkhidmatan Awam kepada Palestin peringkat Kementerian Luar, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kesediaan NGO Malaysia untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Mengulas lanjut, jelas Zambry, Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah di Mesir yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus proses penghantaran bantuan menyatakan kesulitan penghantaran ketika ini.

Ia memandangkan hanya antara 15 dan 20 trak bantuan sahaja dibenarkan dalam sehari walaupun Palestin memerlukan sekurang-kurangnya 200 trak sehari.

Tambahnya, Malaysia telah bersedia untuk menghantar 50 tan bantuan dan proses itu akan dilaksanakan segera selepas dibenarkan masuk berikutan lapangan terbang El Arish di Mesir dilaporkan masih sesak.

“Dari segi kaedah, kita bukan kumpul barangan sebab kita perlu uruskan. Sekiranya barang boleh diperolehi di Mesir, Turkiye atau tempat lebih mudah (kita akan dapatkan di sana), berbanding cara kita dahulu yang mana kita terpaksa angkut semua sehingga menyebabkan perbelanjaan mengurus lebih banyak.

“Untuk mengelak perkara itu berlaku, kita semak keperluan, bukan semua barangan boleh dihantar. Kita akan dimaklum oleh pihak sana apa keperluan segera,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad memaklumkan bahawa PBB meminta Malaysia supaya membuat desakan pada Sesi Khas Tergempar Perhimpunan Agung PBB yang berlangsung ketika ini bagi membenarkan bahan api memasuki Gaza.

“Kita boleh hantar bantuan lain tapi masalah sekarang tiada bahan api untuk operasi penjana kuasa. Antara lain diminta adalah sarung tangan, mereka tahu Malaysia mempunyai kelebihan dari segi penyediaan sarung tangan. Ia sangat diperlukan ketika ini, kita sedang mengendalikan bantuan yang diperlukan untuk dihantar ke sana,” katanya.

Loading...
Terkini