comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Pahang cakna pendidikan Orang Asli

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (kiri sekali) menyampaikan ucapan tahniah kepada Amie Wawa Awang (2 dari kanan) yang berjaya mendapat 7A dalam SPM, baru-baru ini. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Seramai 40 pelajar Orang Asli di negeri Pahang berjaya mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dan muncul pelajar Orang Asli terbaik keseluruhan di negara ini ketika keputusan itu diumumkan baru-baru ini.

Seorang pelajar menerima keputusan 10A, dua orang (9A), 3 orang (8A), 7 orang (7A), 11 orang (6A) dan 16 orang menerima keputusan 5A.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata kerajaan negeri Pahang sentiasa mengambil berat soal pendidikan Orang Asli di negeri ini.

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan melalui kerjasama dengan semua agensi yang berkaitan dengan Pendidikan,” katanya ketika meraikan kejayaan pelajar Orang Asli di sini hari ini.

Katanya, selain itu Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) turut berkerjasama yang berfungsi untuk mengurus dan membangunkan ekonomi masyarakat Orang Asli.

Seramai 729 pelajar Orang Asli di Pahang menduduki peperiksaan itu.

547 pelajar layak mendapat sijil dan 182 pelajar tidak layak menerima sijil SPM.

Sementara itu, pelajar yang berjaya meraih keputusan 10A, 1B dan 1C, Nurul Atiqah Ithnani Idrus yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Bentong, berhasrat untuk menjadi seorang doktor gigi.

Anak kepada seorang pembantu pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara, Idrus Idris dari suku kaum Semai itu sentiasa mendahulukan pelajaran untuk mengejar cita-citanya serta merubah pemikiran kaumnya agar sering mementingkan pendidikan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa mengutamakan pendidikan kaum Orang Asli negeri ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan.

“Saya berterima kasih kepada guru dan sekolah serta sokongan dan dorongan daripada ibu bapa saya dalam pelajaran,” katanya.

Seorang pelajar yang mendapat keputusan 9A, Syaflin Kimieadley Rosli dari kaum Semoq Beri dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor, Maran bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains aktuari berkaitan dengan pengukuran dan pengurusan risiko.

Syaflin yang tinggal di Perkampungan Orang Asli Embus, Lubuk Paku, Maran mahu bakal calon SPM akan datang sentiasa belajar bersungguh-sungguh demi merubah kehidupan dan pemikiran kaum Orang Asli.

“Hanya pendidikan dapat membantu kita berubah cara fikir dan kehidupan serta dapat membantu keluarga di masa depan.

Semoga usaha kerajaan negeri dalam membantu masyarakat Orang Asli mampu memberi manfaat yang baik bukan sahaja kepada masyarakat saya bahkan kepada negeri Pahang,” katanya.

Loading...
Terkini