comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pastikan liputan 5G di kawasan FELDA, FELCRA dan RISDA

TAMPIN: Kerajaan akan memastikan kawasan luar bandar seperti FELDA, FELCRA dan RISDA tidak dipinggirkan daripada menerima liputan teknologi 5G.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kawasan berkenaan akan diberi tumpuan supaya masyarakat tidak ketinggalan menikmati kemudahan teknologi terbabit.

“Bagaimanapun, tanggungjawab itu bukan hanya dipikul oleh syarikat telekomunikasi semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak.

“Saya lihat di sini (FELDA Jelai) ada menara, sistem telekomunikasi bertukar daripada 3G ke 4G seterusnya 5G. Jadi saya sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan luar bandar dan desa tidak mahu ada penduduk terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi lebih baik.

“Saya tidak mahu anak-anak kita terpaksa memanjat pokok untuk dapatkan liputan selain peneroka terpaksa pergi berdekatan menara (telekomunikasi) untuk dapatkan liputan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Wilayah berkata, masyarakat luar bandar wajib diberi peluang mendapatkan liputan 5G biarpun ketika ini pemasangan 5G mencapai 64 peratus di kawasan kependudukan tinggi.

Beliau turut menyentuh isu rumah generasi kedua FELDA dan berharap isu perumahan dapat diatasi segera, sekali gus membantu golongan berkenaan mendapatkan kediaman masing-masing.

Loading...
Terkini