comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perlis akan tebang pokok berisiko, tidak kukuh

Pasangan suami isteri itu dalam perjalanan balik dari makan ke rumah apabila pokok tepi jalan tumbang dan menghempap mereka – Foto PDRM

KANGAR: Kerajaan Perlis akan melaksanakan penebangan pokok yang berisiko dan ada potensi tidak kukuh dan selamat dari segi strukturnya susulan kejadian pokok tumbang yang mencederakan pasangan suami isteri di Simpang Empat, di sini pada Ahad lalu.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, laluan sepanjang Jalan Tengku Budriah di Tambun Tulang-Simpang Empat didapati mempunyai banyak pokok yang berisiko dan tidak kukuh dari segi strukturnya.

“Oleh itu kita sudah pun menanda warna merah pada pangkal pokok (tidak selamat) ini untuk kita tebang dan buang.

“Perlu juga saya ingatkan di sini, kita bukanlah mahu menebang pokok ini kerana mahu mengurangkan kehijauannya tetapi ini disebabkan keselamatan.

“Ada beberapa pihak dari organisasi pencinta alam menelefon saya yang membantah penebangan pokok terutama di laluan berkenaan,” katanya ditemui di perkarangan Hospital Tuanku Fauziah, di sini semalam.

Mohd Shukri bersama Exco Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan meluangkan masa hampir 30 minit menziarahi mangsa kemalangan Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18 dan suaminya, Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18 .

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (berkopiah putih) mendengar perkhabaran terkini keadaan Nuraleya Syazreena Roslan Anuar daripada bapa mertua mangsa, Hanizam Hussin (dua dari kiri dan berbaju kemeja T biru) di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. Foto NSTP/IHSAN PEJABAT MB PERLIS

Mohd Syukri berkata, beliau maklum mengenai bantahan penebangan pokok di sepanjang laluan itu dengan alasan menjadi teduhan daripada panas dan menghadang kenderaan terjunam ke dalam sungai di tepi laluan itu.

“Namun, kita harus melaksanakan (penebangan) ini juga terhadap pokok yang dianggap tidak selamat sebagai faktor keselamatan.

“Strukturnya yang tidak kukuh juga mampu menyebabkan kemalangan lebih banyak berlaku terutama ketika ribut,” katanya.

Sementara itu, Nuraleya Syazreena yang keguguran dan parah selepas mengalami kemalangan motosikal bersama suaminya dalam kejadian itu masih ditidurkan doktor untuk menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu.

Mohd Shukri berkata, bapa mertua mangsa memberitahu menantu dan anaknya itu sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat.

“Menurut bapa mertua mangsa, Hanizam Hussin, menantunya Nuraleya Syazreena bekerja di kedai makan milik isterinya dan ketika kejadian berlaku, mereka sedang berkonvoi bersama termasuk kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka.

“Mangsa membonceng suaminya dan mereka bertolak setelah keadaan hujan mula reda sebelum kemalangan itu berlaku,” katanya.

Mohd Shukri berkata, selain keguguran dan pendarahan dalam kepala, Nuraleya Syazreena juga turut mengalami patah tulang belakang kiri manakala Muhammad Danish patah tulang peha kaki kanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini