comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Persekutuan hormati keputusan Sarawak tangguhkan pendaftaran PADU

KUCHING: Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan kerajaan Sarawak apabila memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) disebabkan beberapa isu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagaimanapun berkata Kerajaan Persekutuan mahu mendapatkan penjelasan mengapa keputusan itu dibuat menjelang tarikh akhir pendaftaran PADU 31 Mac ini.

“Kerajaan Persekutuan belum mendapat gambaran sebenar apa sebab dan punca mengapa keputusan itu diambil. Saya percaya mesti ada sebab (alasan kukuh) kerajaan Sarawak membuat keputusan itu,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Iftar Jamaie Bersama Anak Yatim dan Anak-Anak Tahfiz di Masjid Al Ghazali, Jalan Depo, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata beliau difahamkan kerajaan Sarawak bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan pihak PADU untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu itu sebelum kata putus mengenainya dimuktamadkan.

“Sebab itu Kementerian Ekonomi juga akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sarawak untuk dapatkan maklumat lebih lanjut punca sekular dikeluarkan untuk menangguhkan pendaftaran PADU,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis di Kuantan, semalam berkata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli diminta memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri berhubung isu pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) minggu depan.

Anwar berkata ia susulan kebimbangan dibangkitkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai sistem itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Kelmarin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat di dalam maklumat yang diperlukan sistem PADU.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri baru-baru ini berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu yang tidak sepatutnya didedahkan.

Bagaimanapun katanya, ia bukan bermakna kerajaan Sarawak tidak menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan, tetapi sekadar meminta PADU diteliti semula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini