comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Persekutuan setuju kawal selia elektrik Sabah diserah secara berfasa

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam bersetuju kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah dilaksanakan secara berfasa.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam memaklumkan, fasa 1 penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah berkuat kuasa semalam (3 Januari), manakala fasa 2 penyerahan SESB dalam tempoh tujuh tahun yang dijangka selesai pada 2030.

“Dengan pelaksanaan pemindahan kuasa kawal selia tersebut, Kerajaan Negeri Sabah boleh melaksanakan perancangan dan pembangunan pembekalan elektrik di negeri Sabah dengan sendiri,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, keputusan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain itu, Kerajaan Persekutuan bersedia untuk bekerjasama dan membimbing sekiranya pihak Sabah memerlukan bantuan serta khidmat nasihat.

“Selepas penyerahan ini, adalah diharapkan Kerajaan Negeri Sabah akan sentiasa komited dalam menangani masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah sekali gus memenuhi peningkatan permintaan elektrik di negeri berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Kerajaan Sabah membentangkan rang undang-undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada Kerajaan Persekutuan pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Pembentangan RUU itu selaras persetujuan Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu untuk menyerahkan semula kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah mulai 1 Januari 2024.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada dasarnya sudah memberi lampu hijau kepada Sabah untuk mengambil alih kawal selia bekalan elektrik mulai 1 Januari ini.

Jelasnya, ketika ini kerajaan dalam proses untuk menyelesaikan semua isu berbangkit terutama aspek perundangan melalui penyelarasan dan kerjasama semua pihak berkaitan.

“Antara langkah yang perlu diambil ialah mendapatkan kelulusan Kabinet Persekutuan bagi memohon dan mewartakan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan untuk menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) di Sabah,” katanya.

Ujar Hajiji, pindaan pada akta itu seterusnya perlu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum boleh diwartakan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini