comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah ambil alih kuasa kawal selia elektrik mulai 2024

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dijadual mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada Kerajaan Persekutuan selepas persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkaitan pengambilalihan itu yang dijadualkan 3 Januari depan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada dasarnya sudah memberi lampu hijau kepada Sabah untuk mengambil alih kawal selia bekalan elektrik mulai 1 Januari 2024.

Beliau berkata ketika ini kerajaan dalam proses untuk menyelesaikan semua isu berbangkit terutama aspek perundangan melalui penyelarasan dan kerjasama semua pihak yang berkaitan.

“Antara langkah yang perlu diambil ialah mendapatkan kelulusan Kabinet Persekutuan bagi memohon dan mewartakan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan untuk menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) di Sabah.”

Katanya pindaan pada akta itu seterusnya perlu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum boleh diwartakan.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Penyerahan Kuasa Kawal Selia Pembekalan Elektrik kepada Sabah, di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Beliau mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Datuk Seri Hajiji berkata di pihak kerajaan negeri, dua rang undang-undang (RUU) iaitu Enakmen Bekalan Elektrik dan Enakmen Tenaga Boleh Diperbaharui serta pindaan terhadap Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 berkaitan kemasukan fungsi kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui akan dibentangkan pada sidang khas DUN Sabah, 3 Januari tahun depan.

“Kita memerlukan persetujuan daripada kementerian dan agensi berkaitan, sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri supaya semua proses ini dapat dilakukan dengan lancar, terutama dari segi kesahihan dan mengelakkan gangguan terhadap operasi bekalan elektrik di Sabah,” katanya.

Datuk Seri Hajiji dan Nik Nazmi kemudian turut mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET), yang meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (2023- 2027).

Pelan berkenaan dirumus Suruhanjaya Tenaga (ECoS) bagi menyediakan penyelesaian segera terhadap kekurangan kapasiti penjanaan kuasa yang kritikal di Sabah.

Datuk Seri Hajiji turut menggesa supaya Kerajaan Persekutuan meneruskan proses yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah dan memastikan ia siap tepat pada masanya.

Beliau berkata ia termasuk langkah pantas untuk meningkatkan bekalan tenaga di pantai timur Sabah bagi memulihkan segera margin rizab elektrik Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang September depan.

Katanya, mesyuarat berkenaan juga memutuskan untuk menambah kapasiti penjanaan di pantai barat Sabah menggunakan bekalan gas asli sedia ada serta projek penjanaan tambahan lain di seluruh Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menambahkan kapasiti solar berskala besar sebanyak 100 megawat (MW) pada 2026 yang akan ditempatkan di pantai timur Sabah.

Loading...
Terkini