comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pertimbang wajibkan laluan khas motosikal di lebuh raya

Tinjauan tempat berteduh penunggang motosikal di Lebuhraya Baru Pantai (NPE), hari ini – Foto: Alexander Nanta Linggi/Facebook

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk memperkenalkan dasar baharu yang mewajibkan pembinaan laluan khas bagi penunggang motosikal di lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jika dilaksanakan, pelaksanaannya hanya akan membabitkan projek pembinaan lebuh raya baharu.

“Saya sudah berbincang dengan pihak kementerian, termasuk Ketua Setiausaha, kerana mendapat maklumat dan maklum balas daripada rakyat, khususnya pengguna jalan raya.

“Sepatutnya, lebuh raya ada lorong khas untuk penunggang motosikal. Mungkin lebuh raya yang sedia ada ini rekaannya lama… kita tidak boleh buat apa-apa sebab sudah dibina. Kita tidak boleh lebarkan.

“Oleh itu, kita sudah bincang… untuk akan datang, siapa yang rancang lebuh raya sama ada ‘request for proposal’ ataupun projek kerajaan, mesti mempertimbangkan supaya (penyediaan) lorong khas untuk pengguna motosikal menjadi satu dasar, kewajipan.

“Ini boleh saya usahakan,” katanya pada sidang media selepas meninjau tempat berteduh penunggang motosikal di Lebuhraya Baru Pantai (NPE), hari ini.

Tambahnya, setakat ini terdapat 472 tempat berteduh untuk penunggang motosikal di lebuh raya di seluruh negara.

Datuk Seri Alexander ketika meninjau tempat berteduh penunggang motosikal di NPE

Selain itu, sebanyak 119 lokasi baharu dikenal pasti untuk penyediaan tempat berteduh berkenaan di sepanjang lebuh raya melalui kerjasama dengan syarikat konsesi pada 2023 dan 2024.

“Ini lebih kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat lebuh raya dan LLM. Tidak ada satu sen pun (peruntukan) daripada kerajaan,” katanya.

Loading...
Terkini