comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan peruntuk RM100 juta bagi 42 Kampung Angkat MADANI


Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan & Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi 42 buah Kampung Angkat MADANI di seluruh negara dengan agihan peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta bagi setiap kampung.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan Dewan Rakyat hari ini, sehingga 10 Julai tahun ini, Kementerian Kewangan telah menyalurkan RM86.3 juta kepada kementerian dan agensi yang terlibat meliputi 35 buah kampung yang dikenal pasti.

“Kampung Angkat MADANI diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet dapat dipertingkatkan melalui kaedah Whole of Government.

“Objektif pelaksanaan Kampung Angkat MADANI adalah untuk mencari kaedah terbaik dalam memudahcara dan mempercepatkan pelaksanaan projek kecil di kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali di Parlimen hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan program itu juga bagi merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar selain melengkapkan kemudahan asas desa terpinggir secara holistik serta mengenal pasti kaedah terbaik penyelesaian masalah.

Jelas beliau, kerajaan memberikan dua penumpuan kepada Kampung Angkat MADANI iaitu berbentuk fizikal dan bukan fizikal.

“Projek Fizikal adalah seperti menambah baik jalan kampung, lampu jalan kampung, bekalan air, bekalan elektrik, kemudahan capaian internet, gotong-royong membina atau membaiki titi dan jambatan, membina paip atau saliran air, membina pondok atau balai raya, menyediakan kemudahan akses kepada pendidikan dan kesihatan serta program bimbingan bagi menggalakkan dan mewujudkan sumber makanan dan sumber pendapatan.

“Manakala Projek Bukan Fizikal pula adalah seperti bantuan pengesahan di kawasan setempat seperti pendaftaran JKM, e-Kasih, STR, SARA, perkhidmatan bergerak Kerajaan seperti saringan kesihatan, pergigian, bank bergerak, program MEKAR dan BUDI MADANI serta program bimbingan kanak-kanak dan remaja yang keciciran dalam pelajaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini