comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Pulau Pinang sedia bantu keluarga anggota bomba yang lemas

 

Ahli keluarga kepada anggota bomba yang lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin, Butterworth kelihatan tenang selepas menerima berita penemuan mayat mangsa. – Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia membantu keluarga Mohd Izwan Illias, anggota bomba yang maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Perai ketika menyelenggara enjin bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin, kelmarin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan meneliti bentuk bantuan yang diperlukan dan akan membuat penyelerasan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi tujuan itu.

“Saya akan minta setiausaha kerajaan negeri untuk buat penyelarasan dengan pihak bomba bagi menyampaikan bantuan awal kepada balu Allahyarham (Mohd Izwan), dan jika ada bantuan lain diperlukan kita boleh uruskan bersama,” katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gelugor di sini hari ini, beliau berkata kerajaan negeri juga sedia menimbang untuk memberi sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara sewaan jika ada permintaan daripada bomba atau keluarga anggota terbabit.

Chow turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kejadian yang menimpa.

Dalam kejadian Khamis lalu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth itu hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Perai ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan enjin bot di jeti berkenaan.

Mayatnya ditemui pasukan mencari dan menyelamat petang semalam kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Jamaliah Abd Majid, 42, dan lima anak berusia empat hingga 16 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini