comscore
Tumpuan :
Nasional

Kereta dipandu terbabas dan terbalik, bapa maut, anak cedera 

FOTO: NSTP

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut, manakala anaknya cedera selepas kereta dinaiki dua beranak ini terbabas di persimpangan lampu isyarat Mazra, Jalan Lencong Timur, dekat sini malam tadi.

Kenderaan dinaiki mereka turut terbalik sehingga bumbung hadapannya menindih kepala pemandu.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, pemandu kereta P. Ganesan, 47, yang bekerja sendiri meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Anak lelakinya yang berusia sembilan tahun pula mengalami kecederaan luka di belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu mangsa bergerak dari lorong sebuah kilang sebelum keluar simpang dan membelok ke kanan menghala sebuah kuil.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta terbabit dipandu dengan laju dan hilang kawalan apabila mangsa mahu membelok ke kanan ketika keluar simpang.

“Kenderaan dipandu mangsa terbabas ke kiri sebelum melanggar pagar besi penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

FOTO: NSTP

Menurutnya, impak daripada pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki dua beranak terbabit tercampak melepasi parit besar sebelum ia terbalik.

“Keadaan itu menyebabkan bumbung hadapan kereta terbabit menindih kepala pemandunya hingga mangsa meninggal dunia di lokasi.

“Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan anaknya pula hanya luka kecil di belakang kepala,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang memandu laju ketika mahu keluar simpang.

“Ketika kejadian cuaca baik serta cerah dan ia berlaku di kawasan simpang empat dengan keadaan lalu lintas yang tidak sibuk.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini